Salam Guys...
For this time...me nk share 1 artikel from the Group Usrah...
Selamat membaca!!!!
Maksiat Membuatkan Diri Kita Dibenci
Kenapa bila orang buat baik, dia
berani buat terang-terangan? Kenapa bila orang buat maksiat, dia tak berani buat
depan orang? Fitrah! Manusia senang dengan kebaikan. Benci dengan maksiat.
Ada juga orang yang berani buat
maksiat terang-terangan. Orang lain senang dengannya? Tidak! Allahpun
lebih-lebih lagi tidak senang dengannya.
Berkata Imam Syafie, “Kamu
sekalian hendaklah menghindari kebencian kaum muslimin.” “Bagaimana ia boleh
berlaku?” tanya yang lain. “Seseorang yang melakukan maksiat, Allah akan
menumbuhkan rasa benci muslim yang lain terhadapnya.”
Maksiat Menghalang Masuknya Ilmu Pengatahuan
Imam Malik memberi nasihat yang
layak ditulis dengan tinta emas kepada Imam Syafie. Katanya, “Allah telah
mencerahkanmu dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu, jangan sekali-kali memadamnya
dengan kemaksiatan.”
Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya
Waki’ tentang sukarnya hafazannya kali ini. Lalu berkata Waki’, “Ilmu itu cahaya
dan cahaya tidak menembusi hati yang sedang berbuat
maksiat.”
Maksiat Menggelapkan Hati dan Wajah
Ibnu Abbas berkata, “ Maksiat menyebabkan
kegelapan di wajah dan di hati. Wujud kebencian orang lain terhadap kita, tahap
kesihatan badan merosot dan menghadapi kesulitan daripada aspek ekonomi.”
“Sebaliknya, kebajikan akan mencerahkan
wajah, menjernihkan hati, akan dikasihi orang lain, ekonomi meningkat dan
dimurahkan rezeki.”
Allah SWT mengingatkan, “(Dengan sebab
keingkaran mereka), Allah mematerikan hati mereka serta pendengaran mereka, dan
pada penglihatan mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab
seksaan yang amat besar.” (Surah al-Baqarah: 7).
Maksiat Punca Kebinasaan
Mari kita belajar daripada
sejarah. Maksiat menjadi punca kebinasaan umat terdahulu.
Iblis diusir dari syurga kerana
maksiat.
Kaum Nabi Nuh ditenggelamkan
banjir kerana maksiat.
Firaun dan tenteranya dilemaskan
ke dalam lautan kerana maksiat.
Kaum Sadom diterbalikkan bumi
kerana maksiat homoseksnya.
Kaum Ad dilenyapkan rebut kerana
maksiat.
Kaum Bani Israel dimurkai Allah
kerana maksiat.
Nabi Muhammad SAW mengingatkan,
“Apabila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberi azab-Nya
untuk semua.” (HR Ahmad).
Allah zalim? Tidak! Kita yang
zalim.
“Dan Kami tidak menganiaya
mereka, tetapi menganiaya diri sendiri.” (Surah Hud: 101).
Allah yang Maha Adil hanya
menjalankan keadilan-Nya. Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Yang cintakan
maksiat diberikan pembalasan dan azab.
“Telah timbul pelbagai kerosakan
dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan apa yang telah dilakukan oleh
tangan manusia. Moga-moga mereka kembali.” (Surah al-Rum:
41).
Lazatkah Maksiat?
Habis tu, di mana lazatnya
maksiat hingga ramai orang tertambat?
Lupa tentang akhirat! Itulah
penyebab. Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziah, “Anda akan mendapat murka Allah SWT
sebab berbangga dengan maksiat dan sambil lewa terhadap malaikat yang
menyaksikan dan mencatat kelakuan buruk anda.”
Kita semua tidak maksum. Tidak
terlepas daripada melakukan maksiat atau derhaka kepada Allah. Samada besar atau
kecil. Dosa-dosa kecil yang kita biasakan boleh membesar menjadi maksiat yang
sangat dimurkai. Ia boleh membinasakan.
Di sekeliling, terlalu banyak
potensi maksiat yang berkemungkinan telah kita lakukan. Firman Allah SWT,
“Semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan
mengatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan
yang sah tentangnya, dan kamu pula menyangka itu hanya perkara kecil, padahal di
sisi hukum Allah, ianya adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah al-Nur:
15).
Astargfirullahal azhim.
Apa yang terdaya, jadikan munajat dan ‘istighfar’ itu satu ulam harian yang
wajib diamalkan. Sudikah Allah menerima taubat kita? Hmm, kalau kita fikir Allah
tidak sudi mengampuni, bukankah fikiran itu hanya akan membebani diri? Yakinlah,
Dia Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat.
Carilah Kemuliaan dengan Taat, Bukan dengan
Maksiat
Mungkin masih ada di kalangan
kita yang sengaja menambat dirinya dengan maksiat kerana mahu diterima oleh
kumpulannya yang sekepala. Diterima oleh ahli kumpulan bagaikan satu tujuan dan
satu kemuliaan. Setakat manalah mulianya penerimaan manusia? Tak ke
mana-manapun.
Jika hajatkan kemuliaan, di sisi
Allah ada segala kemuliaan.
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan,
(maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan mematuhi perintah Allah), kerana
bagi Allah jugalah (Pemilik) segala kemuliaan.” (Surah Fathir:
10).
Allah Tahu Meskipun Kita Sembunyikan
Nabi mendedahkan, “Terdapat di
kalangan umatku pada hari kiamat kelak, mereka mempunyai bekal kebajikan yang
banyak sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah menjadikan semua pahala kebajikan
itu seumpama debu-debu yang berterbangan.”
Thauban bertanya, “Adakah
seperti kami kerana kami tidak tahu?” Rasulullah SAW bersabda lagi, “Mereka
ialah saudara-saudara kamu sekalian. Mereka melakukan solat malam seperti kamu
semua, tetapi apabila mereka bersendirian, mereka melakukan larangan-larangan
Allah.” (HR Ibnu Majah).
Tidak perlu kita lakukan maksiat
di kala sembunyi atau terang. Sebabnya, kita sentiasa terkepung oleh CCTV Allah
di mana-mana sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan